Derit-derit hujan di luar bersama hembusan dingin dan aroma lembapnya sesekali meniup ketenangan ke relung hati ini. Mujurlah hujan agak lebat kali ini. Sesakali turun membasahi bumi yang seperti ditimpa kemarau sejak akhir-akhir ini. Mengurangkan pijar hangat yang mungkin disebabkan oleh El-Nino.
Sekian lama laman cetusan rasaku ini dibiar bersawang tanpa coretan berita seperti selalu. Semakin banyak peristiwa dilalui, semakin tidak reti untuk aku meluahkan rasa. Ia seperti melumpuhkan terus upaya untuk bercerita seperti selalu….
Bagaimana lagi untuk aku bercerita.. sedangkan setiap kali mata ini dibuka..setiap kali bangun untuk memulakan helaan nafas dan langkah yang baru, hati ini seperti digores-gores kejam. Perasaan ini seperti ditumbuk-tumbuk sehingga lebam dan ngilu…
Menyesalkah aku untuk terus berada di sini? Menyesalkah aku ditakdirkan hadir di sini menjadi seorang pendidik? Menyesalkah aku kerana setiap hari menghadapi kesukaran yang menyakitkan demi mencurah ilmu dan menyemai bakti untuk anak-anak bocah ini… Yang seringkali menguji kesabaran, menyala
api kemarahan, menyimbah pedih luka pada rasa yang cukup untuk menghambarkan semangat perjuangan…
Tidak…Tidak sesekali… Aku tidak menyesal ditakdirkan untuk hadir menjadi guru kepada anak-anak malang yang mempunyai sejarah kelabunya yang tersendiri… Malah… saat berbicara dengan ibu bapa mereka , hati ini cukup untuk merasa simpati dengan kesukaran mereka… kerana genangan air pada tubir mata seorang bapa dan titis air mata seorang ibu cukup untuk menceritakan segalanya…
Tapi.. aku benci sekali dengan keadaan di sini… Aku menjadi semakin benci dengan manusia yang kononnya menjadi pemimpin di sini… Dia seolah bangga sekali dilengkapi dengan sifat mazmumah yang bukan hanya satu. Dia ketua yang sombong! Dia angkuh! Ego! Prejudis! Pemaksa! Penzalim! Penganiaya! Apa lagi ciri-ciri mazmumah yang tidak ada pada dirinya…?
Aku bukan menuduh…jauh sekali bersangka buruk! Tetapi sikapnya sangat memeritkan rasa…Sangat menekan jiwa sesiapa yang terpaksa bertugas di bawah kepimpinannya…Padahal dia juga seorang pendidik…. Kenapa dia menjadi begini?
Kenapa dia bangga memeras tenaga, keringat, perasaan malah wang ringgit guru di sini yang tidak seberapa? Mengapa dia bangga menghina dan mengaib guru-guru di sini? Mengapa dia tidak merasa malu menengking guru-guru sesuka hati? Mengapa setiap butir bicaranya seringkali terselit sindiran sinis seolah-olah guru di sini tiada harga diri dan hanya melukut di tepi gantang? Mengapa prasangkanya terhadap kami begitu buruk sehingga seolah-olah kami tidak pernah membuat sebarang kebaikan..? Sedangkan ada di antara kami yang rela memperuntukkan masa luang di sekolah walaupun masa itu sepatutnya dihabiskan bersama anak-anak yang memerlukan perhatian? Mengapa dia sering menganggap kami tidak amanah dan makan gaji buta sedangkan ramai antara kami yang berhabis ratusan malah ribuan ringgit untuk memenuhi tanggungjawab yang diberi? Yang hanya dihabiskan untuk sekolah? Mengapa dia masih menganggap kami culas dalam bertugas sedangkan di antara kami ada yang menghabiskan masa di sekolah sehingga maghrib, tengah malam malah hingga ke dinihari untuk menyelesaikan tugas? Mengapa… mengapa begitu buruk prasangkanya? Mengapa diktator sekali sikapnya? Dan… mengapa begitu kejam tingkahnya? Tidakkah dia sedar bahawa dia sedang melakukan penganiayaan…? Tidakkah dia sedar saat ini dia sedang melakukan kezaliman? Tahukah dia… bahawa hati kami ini sering basah menangisi nasib kami yang malang menghadapi sikap seorang ketua sepertinya? Sedarkah dia ada di antara kami ini yang sering menadah tangan berdoa agar segala penderitaan ini segera berlalu? Sedarkah dia ada di antara kami yang memendam rasa dan menangisi nasib malang ini dengan diam-diam? Sedarkah dia bahawa ada yang hampir-hampir hilang kewarasan kerana sering tertekan dan menderita dengan sikap seorang ketua sepertinya? Tahukah dia ada yang bergoyang rumah tangganya kerana masa mereka tidak cukup untuk diluangkan bersama keluarga? Tidakkah dia merasa bersalah di atas paksaannya mengerah tenaga kami, sehingga ada beberapa orang ibu di kalangan kami yang keguguran kerana taat melaksanakan apa yang disuruh… sedangkan wajarkah seorang guru ditugaskan dengan tugas-tugas yang lebih dari seorang tukang kebun, tukang cuci, tukang cat, tukang kayu dan segala jenis tukang? Inikah tugas-tugas yang perlu dilaksanakan oleh seorang guru sehingga tugas hakikinya menyampaikan ilmu terhadap murid-murid terjejas?
Wahai manusia yang bergelar pemimpin… Bukalah mata hatimu… Renungkan kembali apa yang telah kamu lakukan… Wajarkah tindakan yang kamu lakukan ini? Tidakkah kamu sedar bahawa cukup banyak penganiayaan yang kamu lakukan….? Atau… adakah hatimu telah ditutup serapat-rapatnya untuk melihat kebenaran? Tidakkah kamu takut dengan janji Allah terhadap mereka yang melakukan kezaliman? Tidakkah kamu gerun dengan janji Allah… bahawa tidak ada hijab di antara doa orang teraniaya dengan Allah Taála.. seperti mana Sabda Nabi Muhammad (s.a.w):
“…takutlah kamu dari doa orang yang teraniaya karena
tidak ada dinding antara doa itu dengan Allah.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Setiap kali mata ini bersabung denga pandangannya, kata-kata inilah yang bermonolog di dalam hati… Ya Allah… Sesungguhnya baru ku tahu… imanku sangat lemah… Tidak mampu untuk menentang kezaliman… Tidak mampu untuk membela mereka yang dianiayai… Ya Allah.. bantulah aku untuk terus kuat… menegakkan yang haq.. meruntuhkan ketidak adilan…. Kerana aku tahu.. kezaliman ini bertapak di sini kerana manusia-manusia di sini tidak punya prinsip… Tidak ada kemahuan untuk membela hak-hak mereka… Rela ditindas lerana tidak mahu kedudukan terjejas..
Ya Allah… aku mohon.. aku mohon dengan sangat… sekiranya aku tidak mampu menyebarkan kebaikan di sini.. Sekiranya aku tidak mampu berjuang menegakkan kebenaran… Sekiranya aku tidak punya kudrat dan kekuatan untuk menentang kezaliman… Aku mohon… untuk beredar dari sini… Aku mohon semoga aku dapat pergi jauh dari tempat ini… Ya Allah.. Semoga aku berjumpa destinasi yang dapat mengukuhkan imanku… Menyemarakkan semangat perjuanganku.. untuk menyuburkan jiwa-jiwa nan hijau dan kerdil dengan semangat kehambaan pada-Mu, demi menjadi khalifah-Mu… Satu-satunya tugas yang Engkau taklifkan kepada setiap hamba-hambaMu sedari mereka dicipta dan ditempatkan di alam ruh….
Ya Allah… akhirnya aku sedar… hidup ini harus dilakonkan mengikut skrip yang telah ditulis oleh-Mu… Walaupun seringkali aku seolah-olah ingin mengubah skrip hidupku mengikut rentak hatiku… Manusia ciptaan-Mu yang tersangat kerdil jiwanya dan lemah imannya…
Akhirnya… aku akur Ya Allah….